CONTACT

1.4.21

GANJARAN BESAR MENANTI SEAWAL MALAM PERTAMA RAMADAN

Foto Kredit: theguardian.com

KEISTIMEWAAN Ramadan seperti ganjaran pahala berlipat kali ganda dan keampunan Allah SWT yang terbuka luas, menjadikan bulan itu dinanti-nantikan umat Islam di seluruh dunia.

Rasulullah SAW bersabda: Apabila Ramadan tiba, pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup dan syaitan pun dibelenggu. (HR Muslim)

Justeru, sangat rugi sekiranya ada yang tidak berusaha untuk merebut peluang terbuka dengan melipatgandakan dan mempelbagaikan bentuk amalan sepanjang Ramadan ini.

Pendakwah, Imran Angullia, berkata kedatangan Ramadan menginsafkan umat Islam bagaimana Allah SWT memberi peluang untuk hamba-Nya menebus kesilapan dan memperbanyakkan amalan DISYORKAN UNTUK ANDA

  • Persiap minda, rohani hayati Ramadan ketika musibah
  • Puasa enam mengukur impak Ramadan
  • Mengejar Lailatulqadar mohon pengampunan
  • Ramadan peluang terbaik mencari takwa

Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa berpuasa pada Ramadan atas dasar iman dan mengharap pahala Allah SWT, nescaya diampuni dosanya lalu. (HR Bukhari)

Imran berkata, Nabi SAW sendiri gembira setiap kali Ramadan menjelma hingga berkongsi kegembiraan itu dengan sahabat Baginda seperti yang diriwayatkan Ibnu Huzaimah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: Wahai umat manusia, kamu sedang dinaungi Ramadan yang besar kemuliaannya, lagi berkat. Bulan mengandungi satu malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan (lailatul qadar). Bulan yang puasanya dijadikan Allah SWT sebagai perintah diwajibkan dan disunatkan solat Tarawih pada malam harinya.

“Rasulullah SAW mengajar sahabat Baginda untuk menyambut Ramadan sejak enam bulan sebelumnya lagi hingga mereka sudah membuat persediaan mengumpulkan makanan. “Ini kerana sepanjang Ramadan, sahabat tidak mahu lagi sibuk dengan urusan mencari rezeki, sebaliknya menumpukan sepenuh perhatian untuk beribadat,” katanya.

Beliau berkata, sesuai dengan sifat kejadiannya bulan ibadat, ia mengajar manusia supaya mengawal hawa nafsu dan bukan sebaliknya. “Meskipun kita memiliki pekerjaan tetap dan mengalami kesibukan luar biasa, cubalah memperuntukkan masa cuti untuk beribadat terutama 10 hari terakhir Ramadan. “Bagaimanapun, selain 10 hari terakhir itu, sebenarnya ganjaran besar sudah menanti seawal malam pertama Ramadan lagi.

“Malam pertama Ramadan juga istimewa kerana Allah SWT memberi keberkatan kepada hamba-Nya yang beribadah hingga sekiranya berbuat kebaikan, Tuhan akan mengampunkan dosa,” katanya.

Sabda Rasulullah SAW: Apabila tiba malam pertama Ramadan, seruan (dari langit) menyeru: ‘Wahai orang yang ingin berbuat kebajikan, teruskanlah (mara berbuat kebajikan). Wahai orang yang ingin berbuat kejahatan hentikanlah, bagi Allah SWT melepaskan ramai orang dari neraka.’ Seruan itu dibuat setiap malam.” (HR Tirmizi)

Tambah Imran, malam sepanjang Ramadan tidak sama dengan malam lain kerana Allah SWT membuka pintu syurga dari Maghrib hingga fajar seperti sabda Baginda: Pada malam pertama Ramadan, diikat semua syaitan dan jin serta ditutup semua pintu neraka dan tidak dibuka satu pintu pun darinya. Dan pintu syurga dibukakan dan tidaklah ditutup satu pun daripadanya. Maka berserulah penyeru: Wahai orang melakukan kebaikan, hampirlah kamu. Wahai orang melakukan kejahatan, undurlah kamu. Sesungguhnya Allah mempunyai ahli neraka yang dibebaskan dan demikian itu berlaku setiap malam Ramadan. (HR Tirmizi dan Ibnu Majah)

“Bagaimanapun, rahmat Ramadan itu hanya diperoleh oleh orang berpuasa hingga orang yang benar-benar takutkan balasan Allah SWT dan ikhlas dalam mengerjakannya, dijanjikan pahala.

“Tidak kiralah jika seseorang itu mungkin tidak solat atau tidak menutup aurat tetapi apabila tiba Ramadan, mereka berpuasa, itu tandanya masih mengharapkan pengampunan Allah SWT.

“Kita tidak boleh suka mencari kesalahan dan memperlekeh mereka. Jangan kerana tidak solat atau menutup aurat, kita terus menyindir atau mempersoalkan apa perlunya berpuasa,” katanya.

Sementara itu, pendakwah, Muzayyanah Abdullah, berkata umat Islam perlu membuat persiapan ilmu fiqh mengenai puasa sebelum masuk Ramadan.

“Fiqh dalam bab puasa wajib dipelajari, bukan hanya untuk anak-anak, bahkan setiap lelaki dan wanita tanpa mengira usia.

“Ini antara ulangkaji yang perlu dilakukan sebelum tibanya Ramadan kerana tanpa ilmu, tiada peningkatan dalam ibadat puasa.

“Nabi Muhammad SAW mengingatkan ramai orang berpuasa menuntut amalan puasa diterima tetapi Allah SWT berfirman mereka sudah memperoleh semuanya ketika di dunia, iaitu sekadar mendapat lapar dan dahaga,” katanya. Beliau berkata, betapa kecewa dan sedihnya pada akhirat kelak, apabila dikhabarkan semua amalan puasa sia-sia.

Muzayyanah turut menyentuh kemusykilan umum mengenai waktu imsak ketika bersahur hingga ada yang menganggapnya tempoh diharamkan makan dan minum.

“Puasa bukan dihitung daripada bermulanya imsak, sebaliknya masuk waktu Subuh tetapi tempoh itu adalah untuk berjaga-jaga.

“Bagaimanapun, orang yang masih makan saat akhir dalam waktu imsak, perlu berhati-hati apabila masuk saja Subuh, jelas tidak boleh lagi makan atau minum, selain terdedah dengan risiko seperti tercekik di kerongkong,” katanya.

Justeru katanya, waktu imsak bertujuan supaya manusia sentiasa cakna dan bersiap sedia untuk berhenti makan minum dan memastikan tiada sisa makanan masih ada berada dalam mulut.

Beliau menasihatkan masyarakat supaya jangan malu menambah pengetahuan walaupun ada yang menganggap sudah belajar pada peringkat asas.

“Usah jadi manusia jahil lagi sombong kerana jika masih banyak lagi perkara diragui, carilah guru untuk mendalaminya semula.

“Ia sebenarnya kunci untuk kita dapat menjalani puasa Ramadan yang mulia dengan yakin, sekaligus diharap beroleh rahmat Allah SWT,” katanya.


SUMBER: BERITA HARIAN






No comments:

Post a Comment