Tahun 2021 telah menyapa kita. Terlalu banyak kenangan pahit datang tanpa diundang pada tahun 2020 di kala koronavirus menerpa satu dunia.
Ramai yang terkesan, terduduk, terkedu dan terkorban dengan ujian tahun 2020. Hebat ujian Allah SWT untuk hamba-Nya di seluruh pelosok dunia.
Semoga tahun ini akan membawa seribu sinar bagi kita semua. Sedikit demi sedikit aktiviti harian kita yang pernah lumpuh di tahun 2020 telah mula bangkit perlahan-lahan satu demi satu.
Moga-moga kita mengambil iktibar daripada ujian yang didatangkan pada tahun 2020.
Mari kita sama-sama amati kata-kata indah ini:
Allah beri kita kesedihan kerana nak kita sebut nama-Nya.
Allah beri kita kesakitan kerana nak kita mohon kesembuhan daripada-Nya.
Allah beri kita kehilangan kerana nak kita minta yang lebih baik daripada-Nya.
Allah beri kita kesusahan kerana nak kita belajar untuk syukur dan reda.
Allah beri kita kemiskinan kerana nak kita minta daripada-Nya kecukupan.
Allah beri kita kehinaan kerana nak kita minta kemuliaan daripada-Nya.
Reda pada ujian Allah SWT
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya besarnya suatu balasan sebanding dengan besarnya musibah yang dialami. Barang siapa yang reda atas musibah itu maka ia akan mendapatkan keredaan Allah. Tapi barang siapa yang murka akan baginya kemurkaan Allah.” (Riwayat at-Tarmidzi).
Lirik nasyid kumpulan Raihan yang berjudul ‘Demi Masa’ ada membawa bait-bait indah dengan pesanan yang cukup mendalam:
“Masa usia kita jangan disiakan kerana ia tidak akan kembali. Ingat lima perkara sebelum lima perkara: sihat sebelum sakit, muda sebelum tua, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sempit, hidup sebelum mati.”
Ayuh sama-sama kita tanamkan azam dan tekad baru di tahun baru ini. Mulakan lembaran baru dengan bersedekah.
Tidak ramai yang dapat bersedekah ketika dilanda kemiskinan terutama sekali di kala kehilangan pekerjaan atau kejatuhan bisnes.
Ramai yang menunggu sehingga kaya barulah hendak bersedekah.
Allah SWT berfirman pada Surah Ali-Imran, ayat 133 dan 134 bermaksud: “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang bertakwa. Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, orang-orang yang menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang lain. Dan (ingatlah) Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara baik.”
Bulan Ramadan sangat sinonim dengan amalan-amalan kebaikan khususnya bersedekah. Namun benarkah kita hanya perlu bersedekah di bulan Ramadan?
Konsep bersedekah dalam Islam adalah terlalu luas untuk dikupas dan diperjelas dan ia tidak tertumpu kepada wang ringgit dan harta sahaja. Latih diri untuk bersedekah.
Dalam sebuah hadis Riwayat Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Apabila mati seorang manusia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak yang soleh yang mendoakan baginya.” (Riwayat Muslim).
Perlu diingat bahawa bersedekah tidak akan mengurangkan harta atau rezeki. Seperti firman Allah SWT dalam al-Quran Surah Saba ayat 39 yang bermaksud: “Sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya dan menyempitkan bagi (sesiapa yang dikehendaki-Nya). Dan barang apa saja yang kamu nafkahkan, maka Allah akan menggantinya dan Dialah pemberi rezeki yang sebaik-baiknya.”
Persiapan di garis permulaan tahun 2021 ini, bersedekah sejurus selepas menunaikan solat Subuh. Didik diri dan keluarga untuk mengamalkannya setiap hari.
Lama kelamaan akan terbiasa dengan amalan bersedekah. Amalan bersedekah ini dapat menyucikan jiwa dan harta.
Hati akan lebih tenang dan aman dengan bersedekah. Jiwa juga akan damai dan terhindar daripada perasaan negatif.
Bersedekah akan membuka pintu-pintu rezeki. Sabda Nabi SAW: “Tidak ada suatu hari pun ketika seorang hamba melewati paginya kecuali akan turun dua malaikat. Lalu salah satunya berkata, “Ya Allah berikanlah pengganti bagi sesiapa yang menafkahkan hartanya,” sedangkan yang satunya lagi berkata, “Ya Allah berikanlah kehancuran (kebinasaan) kepada orang yang menahan hartanya (bakhil).” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).
Seperti yang diumumkan, sesi persekolahan bakal bermula pada 20 Januari 2021, rebutlah peluang untuk bersedekah sebanyak mungkin.
Belilah barang-barang keperluan asas, uniform sekolah, alat tulis atau apa sahaja untuk fakir miskin atau keluarga yang terkesan dek pandemik ini.
Didik diri kita dan anak-anak untuk sama-sama berkongsi kegembiraan pada yang kurang bernasib baik.
Allah SWT berfirman dalam Surah an-Nisa’ ayat 114: “Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah atau berbuat kebaikan atau mendamaikan di antara manusia dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar.”
Sedekah juga diriwayatkan dalam hadis Riwayat Muslim, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tangan di atas lebih baik daripada tangan di bawah. Tangan di atas adalah yang memberi dan tangan di bawah adalah yang meminta.”
Dalam amalan bersedekah, kita perlu ikhlas, bukan disebabkan balasan ataupun nama. Sedekah juga perlu dilakukan tanpa dihebahkan. Ibarat tangan kanan memberi, tangan kiri tidak mengetahui.
Bekalkan anak-anak duit poket lebih setiap hari ke sekolah. Pesan kepada mereka untuk bersedekah wang mahupun makanan kepada kawan-kawan yang kurang berkemampuan.
Didiklah anak untuk menjadi observant (pemerhati), peka pada persekitaran. Belikan makanan kepada kawan-kawan yang tidak mempunyai makanan atau minuman semasa waktu rehat di sekolah.
Bersedekah di tabung masjid semasa ke masjid bersolat Jumaat juga boleh dipraktikkan.
Nilai dan amalan ini perlu diterapkan seawal mungkin agar menjadi biasa dan dapat mengamalkannya secara berterusan. Bersedekah membuka pintu untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Bersedekah bukan sahaja berupa harta atau wang ringgit. Bersedekah boleh juga diberi dalam pelbagai bentuk.
Hadiahkan senyuman pada guru atau sesama adik-beradik, berdoa secara tulus ikhlas kepada orang yang ditimpa kesusahan, bahkan memberi makan kepada burung-burung yang datang hinggap.
Sebelum anak masuk ke pintu pagar sekolah, titipkan pesanan kepada anak-anak untuk senyum kepada guru-guru, rakan-rakan, tukang kebun, pengawal keselamatan, mahupun peniaga di kantin sekolah.
Senyuman juga adalah sedekah yang menggembirakan hati. Berpesan-pesanlah pada anak-anak untuk sentiasa istiqamah dalam berbuat amal kebaikan.
Daripada Aisyah RA, Nabi SAW bersabda: “Wahai manusia lakukanlah amalan mengikut keupayaan kamu. Sesungguhnya Allah tidak jemu sehinggalah kamu jemu. Amalan yang paling Allah sukai ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Teruskan istiqamah dalam melakukan kebaikan agar menjadi contoh teladan kepada orang lain.
Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang dapat menunjukkan suatu kebaikan (kemudian diikuti dan dilakukan kebaikan itu oleh seseorang yang lain) maka dia akan mendapat pahala seperti orang yang melakukannya.” (Riwayat Muslim).
Penulis Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) Disiarkan pada: Januari 4, 2021
Sumber: HARIAN METRO
No comments:
Post a Comment