CONTACT

1.4.21

PERSIAP MINDA, ROHANI HAYATI RAMADAN KETIKA MUSIBAH

    


KITA berada di ambang Ramadan. Beberapa hari lagi, kita menguak pintunya untuk masuk ke madrasahnya. Tahun ini, akan sedikit berbeza, tetapi objektif Ramadan akan tetap sama.

Ia berbeza kerana kita diduga dengan musibah COVID-19 hingga pergerakan kita terbatas, hatta dalam persoalan mengerjakan ibadah di masjid.

Malah, manusia tidak akan berpusu-pusu ke masjid pada malam pertama Ramadan untuk mengerjakan tarawih. Begitu juga tiada lagi kemeriahan mencari juadah untuk berbuka puasa di bazar Ramadan sebelah petang.

Demikianlah hari mendatang. Ia pasti berbeza dengan solat Tarawih hanya sesama ahli keluarga di rumah masing-masing. Semua berwaspada agar penularan COVID-19 berjaya diputuskan rantaiannya.

                  

                  DISYORKAN UNTUK ANDA

Pastinya juga ada hikmah. Bapa sebagai ketua keluarga sudah bolehlah bersiap dari sekarang untuk menjadi imam solat tarawih. Anak lelaki pula diajar menjadi bilal, manakala isteri dan anak lain menjadi makmum.

Perbezaan cara kita menyambut Ramadan kali ini usahlah kita risau dan bimbangkan. Apa yang penting adalah untuk kita tidak sesekali melupakan dasar dan asas kepada matlamat Allah SWT memfardukan puasa kepada umat manusia.

Firman Allah SWT: “Wahai orang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang sebelum kamu, mudah-mudahan kamu beroleh ketakwaan.” (Al-Baqarah: 183)

Kita bersyukur masih hidup dan dipilih Allah SWT untuk menggapai Ramadan kali ini dan marilah kita sama-sama mencari peluang supaya ia lebih baik daripada tahun lalu.

Darjat ketakwaan yang disebutkan dalam ayat di atas adalah anugerah Allah SWT kepada hamba-Nya yang berusaha bersungguh-sungguh dalam ibadat puasa.

Dalam ayat itu, Allah SWT menggunakan perkataan ‘asa (mudah-mudahan) yang bererti tidaklah semua yang memperolehnya jika tidak kena gaya dan aturannya dalam berpuasa.

Oleh itu, baki beberapa hari lagi untuk kita masuk pintu Ramadan, wajar untuk kita mempersiapkan minda dan rohani. Minda harus bersedia menerima kehadirannya dengan berfikiran terbuka menghadapi cabaran.

Rohani kita pula perlu disiapkan dengan rasa gembira dan keazaman jiwa untuk menjalaninya dengan penuh keimanan serta ketakwaan.

Sedarlah jiwa yang berpuasa dengan penuh kesedaran akan pelaksanaan ibadah ini kerana Allah SWT semata-mata akan memperoleh ganjaran besar berupa keampunan-Nya terhadap dosanya yang lalu.

Hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa berpuasa dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala daripada Allah, maka dosanya yang lalu akan diampuni.” (HR Bukhari dan Muslim)

Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menyebut: Apa yang dimaksudkan dengan berpuasa atas dasar iman ialah berpuasa dengan beriktikad akan kefarduan puasa, manakala dimaksudkan dengan ihtisaban ialah mengharapkan ganjaran daripada Allah SWT.

Dalam beroleh darjat ketakwaan ini juga hendaklah kita memastikan kita berpuasa dengan cara disebut Nabi SAW, iaitu berpuasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi turut menahan diri daripada melakukan kemaksiatan zahir serta batin.

Nabi SAW bersabda: “Boleh jadi orang berpuasa itu tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan lapar dan boleh jadi orang yang berqiam itu tidak mendapat apa-apa daripada qiamnya melainkan hanya berjaga malam.” (HR Ibnu Majah)

Antara perbuatan yang akan merosakkan ibadah puasa adalah apabila kita tidak meninggalkan perkataan dan perbuatan keji serta dusta.

Nabi SAW bersabda: “Barang siapa yang tidak meninggalkan perkataan keji serta mengamalkannya pula, maka Allah tidak berhajat untuk orang itu meninggalkan makan dan minumnya.” (HR Bukhari)

Oleh itu, Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya Ulumiddin mengklasifikasikan tiga kelompok manusia dalam hal berpuasa.

Kelompok pertama ialah orang awam berpuasa tidak lebih daripada sekadar meninggalkan makan dan minum serta hubungan seksual pada siang hari.

Kelompok kedua pula diberi nama al-khusus, iaitu mereka yang meninggalkan perbuatan di atas di samping turun menjaga anggota pancaindera daripada melakukan segala perbuatan maksiat dan sia-sia.

Kelompok ketiga pula disebut kelompok khusus al-khusus atau al-khawwas, iaitu mereka menjaga seperti kelompok kedua, pada masa sama, mereka turut menjaga hati dengan sentiasa mengingati Allah SWT.

Oleh itu, marilah kita meningkatkan keazaman kita untuk melakukan ibadah puasa tahun ini dengan kaedah dan cara kelompok yang ketiga supaya kita sebenar-benarnya beroleh darjat ketakwaan di sisi Allah SWT.

Ingatlah ganjaran orang bertakwa atau al-muttaqin akan beroleh syurga-Nya.

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya orang yang bertakwa ialah orang yang berjaya. Mereka beroleh tempat di taman syurga dan beroleh nikmat buah-buahan di dalamnya.” (Al-Naba’: 31-32)

Penulis ialah Pensyarah Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia (USM)

Sumber: BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment