CONTACT

29.4.21

NUZUL AL-QURAN



SALAM NUZUL AL-QURAN!

Peristiwa Nuzul Al-Quran merupakan peristiwa turunnya ayat al-Quran yang pertama kepada Muhammad hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada hari ini. Berlaku pada 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad ketika baginda beribadat di gua Hira. Perkataan Nuzul bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. bila disebut bahawa Al-Quran adalah mukjizat terbesar Muhammad maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam.

Sabda Nabi SAW bermaksud, "Bacalah Al-Quran, kerana sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat memberi syafaat kepada sesiapa yang membacanya: (Hadis Riwayat Muslim).

Perbanyakkanlah amalan di bulan Ramadan. Moga Allah SWT memberkati kita semua. Aamiin


13.4.21

SUMBANGAN RAMADHAN BERBUKA PUASA UNTUK ANAK-ANAK MAAHAD TAHFIZ AL-QURAN WASUNNAH SANDAKAN


Sempena bulan Ramadhan yang mulia ini, marilah kita bersama-sama memberi sumbangan kepada anak-anak Maahad Tahfiz Al-Quran Wasunnah berbuka puasa dalam bulan Ramadhan. Hubungi Ustaz Mohd Al-Alim di nombor 014-3504361 untuk maklumat lebih lanjut. Mudahan sumbangan kalian diberkati Allah SWT. Aamiin

1.4.21

PROGRAM MEMBELI SAMBIL MENDERMA

 

Membeli sambil menderma untuk badan-badan yang memerlukan. Ini adalah pendekatan yang dilakukan daripada Shim Ashia Foundation dalam usaha mengumpul dana untuk disalurkan kepada yang memerlukan.

Dengan setiap pembelian daripada barang-barang baru mahupun terpakai, RM1 akan dimasukkan ke dalam tabung kebajikan. Shim Ashia Foundation hanya menjual barangan jenama tempatan dan secara dalam talian iaitu di facebook.com.shimashiafoundation

Usaha ini akan berterusan sampai bila-bila disamping memberi peluang kepada peniaga jenama tempatan mendapat pendedahan produk masing-masing. Untuk itu, adalah amat dialu-alukan kepada peniaga yang ingin turut serta di dalam program Membeli sambil Merderma ini.

Insya Allah, diharap dengan program seumpama ini akan dapat memberi kebaikan kepada semua. Aamiin

SEDEKAH


PENGERTIAN SEDEKAH, WAKAF, INFAK

Sumber: Al-Kafi Lu al-Fatawi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Apakah perbezaan antara sedekah (derma), wakaf dan infak?

Sedekah bererti pemberian yang padanya dicari pahala daripada Allah SWT. (Rujuk al-Ta’rifat – 1/132) Ibn Manzur memberikan definisi sedekah sebagai apa yang kita berikan kerana Allah SWT kepada golongan fakir yang memerlukan. (Rujuk Lisan al-Arab (10/196)

Sedekah merangkumi maksud zakat wajib dan sedekah sunat seperti yang dimaksudkan dalam al-Quran yang bermaksud: “Sesungguhnya sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir dan orang-orang miskin dan amil-amil yang menguruskannya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukun yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya daripada Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Taubah – 9:60)

Begitu juga keterangan hadis dalam surat yang ditulis Saidini Abu Bakar RA yang maksudnya: “Kefarduan sedekah (iaitu zakat) ini ialah sepertimana yang difardukan Rasulullah SAW ke atas kaum Muslimin. (Hadis riwayat Imam Bukhari (1454)

Infak pula menurut al-Jurjani bererti memberlanjakan harta kepada orang berhajat. (Rujuk al-Ta’rifat – 1/39) Dalam Surah al-Baqarah, ayat 3, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “(Orang yang beriman itu adalah) orang-orang yang beriman dengan perkara yang ghaib, menunaikan solat dan mereka memberi infak apa ygn kami rezekikan kepada mereka.”

Perkataan ‘yunfiquun’ dalam ayat itu menurut pilihan Imam al-Tabari merujuk kepada pensyariatan zakat dan pemberian nafkah kepada ahli keluarga yang ditanggung. (Rujuk Jami’al-Bayan – 1/244)

Justeru, sedekah dan infak itu adalah sinonim manakala wakaf dari sudut bahasa bermaksud menahan sesuatu. Dari sudut istilah, ia membawa maksud menahan harta yang boleh diambil daripadanya manfaat berserta mengekalkan ‘ain harta berkenaan.

Ia menghilangkan pemilikan dan pengurusan harta itu daripada pewakaf dan harta itu akan digunakan pada jalan yang dibenarkan ataupun keuntungan daripadanya (harta wakaf itu) digunakan untuk jalan kebaikan. (Lihat Mughni al-Muhtaj – 2/376) Pahala orang yang berwakaf akan berkekalan selagi harta wakaf itu masih wujud walaupun selepas kematian pewakaf.

Wakaf juga disebut sebagai sedekah jariah. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: ‘Jika mati seorang manusia itu akan terputuslah catatan amalannya melainkan tiga perkara, sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakan baginya kebaikan. (Hadis riwayat Imam Muslin – 1631) Imam Nawawi menjelaskan, sedekah jariah itu bermaksud wakaf. (Rujuk Syarh Muslim – 11/85)

Pengertian Infak dan sedekah adalah zakat wajib, sedekah sunat dan wakaf manakala wakaf pula lebih khusus kepada amalan wakaf.

Kredit: HARIAN METRO

 

PERSIAPAN DIRI DALAM MEMPERKASA PUASA DI BULAN RAMADAN



Kurang sebulan lagi Ramadan akan tiba. Mudah-mudahan umur kita sampai untuk mengecapi nikmat dan kemanisan penghulu segala bulan itu. Sudah tentu kita bersemangat memikirkan apakah yang perlu dilakukan supaya puasa akan datang lebih baik daripada tahun sebelumnya.

Bagaimana cara Rasulullah SAW mempersiapkan diri sebulan sebelum menjelang Ramadan?

Menurut panduan sirah nabawiyah, ketika tiba Syaaban, Rasulullah SAW melipatgandakan kuantiti dan kualiti ibadat puasa, qiamullail, zikir dan amal soleh. Jika pada bulan-bulan sebelumnya Baginda hanya berpuasa rata-rata 11 hari, tetapi pada bulan Syaaban, Baginda berpuasa hampir penuh sebulan.

Hal itu diriwayatkan Aisyah r.a., “Rasulullah banyak berpuasa (pada bulan Syaaban) sehingga kita mengatakan, beliau tidak pernah berbuka dan aku tidak pernah melihat Rasulullah berpuasa sebulan penuh kecuali puasa Ramadan. Dan aku tidak pernah melihat Rasulullah banyak berpuasa (di luar Ramadan) melebihi Syaaban.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam riwayat Usama bin Zayed r.a, “Aku bertanya kepada Rasulullah SAW, ‘Wahai Rasulullah, aku tidak melihatmu banyak berpuasa seperti pada bulan Syaaban?’

Baginda menjawab, “Syaaban adalah bulan yang dilupakan oleh manusia, letaknya antara Rejab dan Ramadan. Pada bulan itu, amal manusia diangkat (ke langit) oleh Allah SWT dan aku menyukai pada saat amal diangkat aku dalam keadaan berpuasa.” (Hadis riwayat an-Nasa’i)

Syaaban adalah bulan penutup rangkaian puasa sunah Rasulullah SAW sebelum berpuasa penuh pada bulan Ramadan. Jika Rasulullah SAW mempersiapkan diri untuk menyambut Ramadan dengan berpuasa minimum 11 hari di luar bulan Syaaban dan 20 hari pada bulan Syaaban, bererti untuk menyambut Ramadan Rasulullah SAW berpuasa paling kurang 130 hari atau sepertiga lebih daripada jumlah hari dalam setahun.

Bagaimana pula dengan kita? Adakah kita bergembira dengan kehadiran bulan suci ini atau tidak mempunyai apa-apa perasaan istimewa?

Ada dalam kalangan menganggap Syaaban dan Ramadan tidak jauh bezanya daripada bulan-bulan lain. Umumnya, suasana ‘biasa’ itu bukan kerana sikap ingkar terhadap perintah Allah, tetapi aktiviti duniawi seseorang itu terlalu padat. Imam Al-Ghazali dalam Ihya’ Ulumiddin menyebutkan, terdapat beberapa hari istimewa digelar sebagai hari-hari utama (al-Ayyam al-Fadhilah).

Hari-hari utama itu dapat ditemukan pada setiap tahun, setiap bulan, malah setiap minggu. Untuk keistimewaan bulanan, Imam Al-Ghazali memasukkan Syaaban dalam kategori bulan-bulan utama (al-Asyhur al-Fadhilah) di samping Rejab, Zulhijjah dan Muharam. Terdapat beberapa sebab istimewanya Syaaban. Antaranya, ia menjadi jambatan menuju bulan paling diagungkan. Sebab itu bulan ini dikatakan ‘Syaaban’ iaitu berasal daripada kata ‘syi’ab’ yang bermaksud jalan setapak menuju puncak. Syaaban adalah bulan persiapan yang disediakan Allah SWT untuk hambanya bagi memantapkan fizikal, emosi dan spiritual menuju keberkatan yang hakiki pada bulan Ramadan.

Sebagai alternatif, Syaaban sepatutnya menjadi momentum bagi umat Islam menguatkan mental serta memperbaiki akhlak untuk menyambut Ramadan.

Dalam keadaan berpuasa, seorang hamba akan memperoleh pendidikan rohani yang luar biasa dan memberi impak dalaman yang tinggi. Puasa bukan sekadar menahan diri daripada makan dan minum sahaja, malah perkara yang mendorong hawa nafsu ke arah keburukan seperti bercakap bohong, pembaziran, sombong, ego, mementingkan diri sendiri, suka menilai kelemahan orang lain dan pelbagai lagi.

Mudah-mudahan Ramadan kita jejaki. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

Dr. Azlan Shaiful BaharumTimbalan Dekan, Fakulti Pengajian Bahasa Utama

Sumber: Harian Metro Online 

PELIHARA KESUCIAN ISLAM



Pengutusan rasul adalah bertujuan untuk menyelamatkan manusia daripada kesesatan kepada kepercayaan tauhid. Firman Allah SWT di dalam al-Quran surah al-Saffat ayat 123 hingga 126 yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Nabi Ilyas adalah daripada Rasul-rasul (Kami) yang diutus. (Ingatkanlah peristiwa) ketika ia berkata kepada kaumnya: “Hendaklah kamu mematuhi suruhan Allah dan menjauhi larangan-Nya. Patutkah kamu menyembah berhala Ba’la dan kamu meninggalkan (ibadat kepada) sebijak-bijak pencipta? Iaitu Allah Tuhan kamu dan Tuhan datuk nenek kamu yang telah lalu!”

Kepercayaan dan keyakinan terhadap kewujudan Allah SWT sebagai Tuhan yang esa menjadi teras akidah bagi setiap Muslim. Perkara ini ditegaskan Allah SWT di dalam al-Quran surah al-Ikhlas ayat 1 hingga 4 yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; Dan tidak ada sesiapapun yang serupa dengan-Nya.”

Kedatangan Islam menghapuskan kepercayaan kepada tuhan yang berbilang-bilang dalam kalangan masyarakat Arab jahiliah yang menyembah berhala. Ketika pembukaan Kota Makkah, Nabi Muhammad SAW menghancurkan semua 360 berhala di Kaabah. Perkara tersebut dijelaskan di dalam sebuah hadis daripada Ibn Mas’ud RA yang bermaksud: “Nabi SAW memasuki Makkah dan di sekeliling Kaabah terdapat 360 berhala. Baginda kemudian menghancurkannya dengan tongkat di tangannya seraya mengucapkan firman Allah: ‘Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik); Telah datang kebenaran (al-Quran yang memberi segala kebaikan) dan perkara yang salah tidak memberi sebarang kebaikan di dunia, usahkan hendak mengulanginya di akhirat.'” (Riwayat al-Bukhari)

Penegasan terhadap keyakinan kepada keesaan Allah SWT dirakamkan di dalam beberapa ayat di dalam al-Quran seperti surah al-Anbiya’ ayat 21 dan 22 yang bermaksud: “Kalau ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan yang lain daripada Allah, nescaya rosaklah pentadbiran kedua-duanya. Maka (bertauhidlah kamu kepada Allah dengan menegaskan): Maha Suci Allah, Tuhan yang mempunyai Arasy, daripada apa yang mereka sifatkan.”

Walaupun manusia secara fitrahnya mempercayai kewujudan kuasa luar biasa yang menguasai alam semesta, namun Tuhan yang dipercayai dan diimani oleh orang Muslim tentulah tidak sama dengan tuhan yang dipercayai oleh orang kafir. Firman Allah SWT di dalam surah Luqman ayat 25 yang bermaksud: “Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?’ Sudah tentu mereka akan menjawab: ‘Allah’. Ucapkanlah (wahai Muhammad): ‘Alhamdulillah’ (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian – tidak mengingkari Allah), bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat tauhid dan pengertian syirik).” Di dalam ayat yang lain surah al-Maidah ayat 73 Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Demi sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: ‘Bahawasanya Allah ialah salah satu daripada tiga tuhan. Padahal tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan yang Maha Esa. Dan jika mereka tidak berhenti daripada apa yang mereka katakan itu, sudah tentu orang-orang yang kafir daripada antara mereka akan dikenakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.'”

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-82 yang bersidang pada 5 hinga 7 Mei 2008 memutuskan bahawa lafaz kalimah Allah adalah kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama bukan Islam yang lain. Oleh itu  wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Allah SWT memberikan ancaman terhadap perbuatan yang mempersekutukan-Nya melalui firman-Nya di dalam al-Quran surah al-A’raf ayat 191 dan 192 yang bermaksud: “Patutkah mereka sekutukan Allah dengan benda-benda yang tidak dapat menciptakan sesuatu pun, sedang benda-benda itu sendiri diciptakan? Dan benda-benda itu tidak dapat menolong mereka dan tidak juga dapat menolong dirinya sendiri.” Di dalam ayat yang lain Allah SWT berfirman di dalam surah An-Nisa’ ayat 48 yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apa jua) dan akan mengampunkan dosa yang lain daripada itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan Syariat-Nya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.”

Setiap Muslim wajib menjauhkan diri daripada terlibat dan terpengaruh dengan sebarang bentuk ajaran yang menyeleweng setelah rasul berjuang menyelamatkan umat manusia daripada kesesatan. Firman Allah SWT di dalam surah al-Jumu’ah ayat 2 yang bermaksud: “Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad SAW) daripada bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaan-Nya) dan membersihkan mereka (daripada iktiqad yang sesat) serta mengajarkan mereka Kitab Allah (al-Quran) dan hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak) dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.”

Ajaran sesat dan menyeleweng adalah sebarang ajaran dan amalan yang diasaskan dan didukung oleh orang Islam dan juga orang bukan Islam yang mendakwa ajaran dan amalan tersebut berdasarkan ajaran Islam sedangkan pada hakikatnya ajaran dan amalan itu bertentangan dengan al-Quran dan al-sunnah, bercanggah dengan akidah Islam dan berlawanan dengan pegangan akidah Ahli Sunnah wal Jama’ah.

Di dalam konteks Wilayah Persekutuan, terdapat beberapa seksyen berkaitan kesalahan berhubung dengan akidah di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 seperti pemujaan salah, doktrin palsu, mengembangkan doktrin agama, dan dakwaan palsu. Begitu juga seksyen berkaitan kesalahan yang berhubung dengan kesucian agama Islam dan institusinya seperti menghina dan menyebabkan agama Islam dipandang hina, mengajar agama tanpa tauliah, pendapat yang bertentangan dengan fatwa dan penerbitan yang bertentangan dengan hukum syarak. Semua peruntukan tersebut bertujuan memelihara kesucian dan kemuliaan agama Islam.

Bagi mengekang penyebaran ajaran yang menyeleweng, kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) baru-baru ini juga kembali mengaktifkan Jawatankuasa Pemandu Menangani Ajaran Sesat Peringkat Kebangsaan (Japas) bagi memastikan segala tindakan dan gerak kerja menangani isu akidah dan ajaran sesat berjalan secara teratur.

Kebenaran akidah Islam telah dibuktikan melalui pelbagai dalil dan hujah yang kukuh semenjak berabad-abad lamanya. Justeru marilah kita semua kembali berusaha memperkukuhkan akidah dalam diri dan menjauhi segala amalan sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam. Jauhilah sebarang kepercayaan yang hanya bersifat sangkaan sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah Yunus ayat 36 yang bermaksud: “Dan kebanyakan mereka, tidak menurut melainkan sesuatu sangkaan sahaja, (padahal) sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu daripada kebenaran (iktiqad). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka lakukan.”

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Sumber: Harian Metro


KEKURANGAN DIRI BUKAN ALASAN UNTUK MENGALAH

 WANITA berusia 33 tahun ini pernah dihantui memori pahit sewaktu zaman kanak-kanak dek kekurangan fizikalnya.

Sehingga ke satu tahap, dia enggan ke sekolah kerana terasa hati apabila diejek rakan sebaya.

Begitupun, Aliah Talib tidak membiarkan perkara itu menjadi titik noktah buat dirinya apabila berjaya bangkit menjadi seorang pelukis.

Bermula dengan menghasilkan lukisan di atas kertas bersaiz A4, siapa sangka anak kelahiran Alor Setar, Kedah ini kini mampu mencanting batik.

Lebih membanggakan apabila anak bongsu daripada tujuh beradik ini mampu menyara hidupnya dan keluarga menerusi hasil jualan karya tersebut.

“Saya hanya bersekolah tadika sahaja kerana tidak tahan diejek oleh rakan.

“Begitupun bermula tujuh tahun, saya sudah mula menjinak-jinakkan diri dengan lukisan.
Tetapi pada waktu itu, lukisannya sekadar main-main sahaja.

“Keluarga menyedari minat saya dan ibu membelikan saya buku dan pensel warna,” katanya.

WANITA cekal ini enggan mengalah dengan kekurangan diri dan kini berjaya menjadi pelukis berjaya.

Bercerita lanjut, menurut wanita yang tiada kedua belah tangan sejak lahir ini, pada tahun 2004, dia menyertai Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan untuk mengasah bakat yang dimiliki selama empat tahun.

Sebaik tamat sesi latihan di pusat tersebut, Aliah berguru pula dengan pelukis terkenal, Raja Azhar di kediaman beliau yang terletak di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur pada setiap hujung minggu.

Bermula daripada melukis di kertas, Aliah yang menjadikan pelukis terkenal tanah air, Raja Azhar Idris dan Zanubah Hamzah sebagai sumber inspirasi kini mampu mencanting batik.

“Setakat ini, saya tidak mempunyai sebarang masalah biarpun lukisan dihasilkan menggunakan kaki.

“Kebiasaannya, saya akan melukis bermula malam sehingga awal pagi kerana pada waktu itu saya mendapat lebih banyak inspirasi,” katanya.

Kebiasaannya, lukisan yang dihasilkan bertemakan batik kontemporari, potret manusia atau pemandangan dan mata itu dijual pada harga antara RM100 hingga RM1,000 bergantung kepada saiz.

Kurang upaya bukanlah penghalang bagi wanita ini daripada meneruskan kehidupan seperti individu normal lain.

ALIAH kini lebih yakin untuk memandu kereta tanpa rasa takut.

Tidak mahu bergantung kepada sesiapa, Aliah mengambil keputusan untuk mengambil lesen memandu bagi membolehkan dia bergerak..

“Saya fikir masa depan. Adik-beradik tidak sentiasa ada dan mereka sudah pun berkeluarga.

“Ibu pernah berpesan, saya perlu berdikari. Kata-kata itu membuatkan saya berani mencabar diri mengambil lesen memandu,” katanya.

Berkongsi pengalaman memandu menggunakan kenderaan, ahli persatuan Mouth & Foot Painting Artist ini berkata, pada mulanya dia berasa takut untuk memegang stereng kenderaan.

Bagaimanapun selepas beberapa kali cuba memandu berdekatan taman perumahannya, Aliah mula yakin untuk bergerak di atas jalan raya.

“Yakinlah dengan kemampuan dan kebolehan. Jangan merendah diri.

“Kita perlu berusaha untuk terus berjaya dengan fikiran positif,” katanya.

  • Oleh KHAIRIYAH HANAFI (1 Januari 2021)

Sumber: KOSMO

BOLEHKAH MAKAN MAKANAN YANG DINIATKAN UNTUK SEDEKAH

WARTAWAN SINAR HARIAN | | 06 Januari 2020

JIKA sudah berniat untuk menyedekahkan makanan, sebaiknya teruskanlah niat tersebut kerana banyak ganjaran yang dijanjikan ALLAH untuk mereka yang menyedekahkan harta ke jalan-NYA. NIAT di hati ingin menyedekahkan makanan, namun entah kenapa ia hanya tinggal impian dalam diri sahaja. Akhirnya, makanan tadi selamat masuk ke dalam perut kita.

Begitu pun, apakah hukumnya memakan makanan yang diniatkan untuk sedekah tersebut?Menjawab kepada persoalan berkenaan, hukum memakan makanan yang diniatkan untuk bersedekah adalah harus dan tidak berdosa. Ini kerana, ia sekadar diniatkan dan belum diterima oleh penerimanya. Meskipun hukumnya adalah harus, namun kita disunatkan supaya makanan tadi disedekahkan juga.

Perkara itu ada dinyatakan dalam kitab Syarh Muntaha al-Iradat: “Barang siapa yang telah membahagikan sebahagian hartanya untuk disedekahkah atau diberikan kepada wakil untuk menyedekahkannya, kemudian dia berasa tidak mahu menyedekahkannya pula, maka sunat baginya untuk terus memberikannya kepada penerimanya kerana hal ini berlawanan dengan godaan nafsu dan hasutan syaitan. “Namun, tidak wajib untuk dia memberikan sedekah tersebut kerana sedekah tidak dimiliki oleh seseorang penerima sebelum dia menerimanya.”

Bagaimana pula jika seseorang itu menarik balik sedekah yang sudah diterima oleh si penerima? Jika difikirkan logik akal, sesiapa pun tidak boleh menerima tindakan sebegitu kerana ia menggambarkan sifat tidak berperikemanusiaan.

Dalam Islam, sekiranya sedekah tersebut sudah diberikan dan diterima oleh penerimanya, maka haram untuk kita menarik balik dan mengungkit kembali apa yang telah diberikan. Perbuatan itu sebenarnya telah menyakiti orang yang menerima sedekah tersebut.

Firman ALLAH SWT: “Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti.” (Surah al-Baqarah, ayat 264)

Bahkan, Rasulullah SAW juga pernah memberikan perumpamaan terhadap orang yang menarik balik sedekah yang diberikannya ibarat seekor anjing yang memakan muntahnya.

Sabda baginda SAW: “Perumpamaan orang yang menarik kembali sedekah yang telah diberikannya diibaratkan seperti anjing yang muntah, kemudian ia kembali memakan muntahnya sendiri.” (Riwayat Muslim)

Jika sudah berniat untuk bersedekah, teruskan istiqamah melakukannya yang diterjemahkan dalam bentuk tindakan.Selain merupakan amalan mulia, mereka yang bersedekah ke jalan ALLAH SWT dijanjikan dengan ganjaran yang berlipat kali ganda.

Ayuh rebut peluang untuk kita meningkatkan saham akhirat. Semoga segala amalan kita diterima oleh-NYA.

(Sumber: #Al-Kafi 1471: Hukum Makan Makanan yang Diniatkan untuk Sedekah, laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)

Sumber: SINAR HARIAN
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf 

ASIA ABAI OKU KETIKA MUSIM COVID19

Golongan OKU memerlukan usaha tulen dan serius oleh kerajaan dan masyarakat untuk menyelamatkan mereka daripada krisis kesihatan akibat Covid-19.

fOTO123rf

JIKA wabak Covid-19 sukar bagi semua orang di Asia Pasifik, lebih sukar bagi 690 juta OKU fizikal atau intelektual yang tinggal di sana. OKU kurang mampu mengelak daripada berjangkit Covid-19 berbanding orang lain dan lebih cenderung mati daripadanya.

Di Jepun misalnya, terdapat 86 kes Covid-19 di sebuah pusat untuk golongan intelektual OKU di wilayah Chiba berhampiran Tokyo. Di Korea Selatan, kemudahan perubatan tidak dapat melindungi golongan OKU daripada jangkitan.

Walaupun kerajaan telah menganggap kuarantin diri sebagai cara terbaik, ini bukan pilihan untuk semua OKU kerana ramai di antara mereka tidak boleh hidup berdikari dan memerlukan bantuan daripada orang lain untuk aktiviti harian.

Penduduk rumah OKU di Jawa Tengah, Indonesia masih mempunyai penggiliran bantuan di mana beberapa individu menjaga mereka setiap hari kerana rumah itu tidak mampu mengupah seorang pembantu bagi setiap individu. Rumah itu mengakui bahawa putaran sedemikian menimbulkan risiko pendedahan yang tinggi kepada Covid-19.

OKU yang mengalami gejala tidak semestinya memahami apa yang berlaku kepada mereka atau tidak dapat menjelaskan keadaan sepenuhnya kepada doktor atau kakitangan perubatan.

Kakitangan perubatan mungkin bukan sahaja mempunyai pengetahuan yang terhad untuk menangani Covid-19 tetapi juga berurusan dengan pesakit OKU secara umum. Jelasnya, pengesanan awal pendedahan Covid-19 dalam kalangan OKU amat sukar.

Ini telah menjadi lebih buruk kerana terdapat maklumat terhad mengenai Covid-19 yang disesuaikan untuk individu OKU.Terdapat beberapa usaha untuk membuat maklumat yang terdapat di Braille.

Untuk melakukan mencuci tangan dan latihan memakai topeng untuk OKU dengan tangan mereka sendiri.Sesetengah OKU memerlukan latihan tertentu untuk membantu mereka memahami maklumat tertentu. Untuk orang buta kita perlu membuat simulasi bagaimana untuk membasuh tangan dengan betul.

Orang yang mempunyai kemerosotan pendengaran atau pekak juga mempunyai keperluan khusus termasuk untuk maklumat dalam bahasa isyarat. Maklumat mengenai Covid-19 yang boleh diakses oleh semua orang masih sukar dijumpai.

Mesra OKU

Kerajaan perlu memastikan kemudahan perubatan untuk pesakit Covid-19 adalah mesra OKU dan petugas perubatan dilatih dalam menangani pesakit OKU. Di luar penjagaan kesihatan, dasar khusus kecacatan diperlukan dalam hal-hal sosial dan ekonomi.

Covid-19 telah menjadikan kerajaan menutup sekolah dan menjalankan kelas dalam talian tetapi ini mungkin tidak boleh diakses oleh golongan OKU. Keluarga pelajar OKU mesti dapat menemani keperluan pembelajaran dan menyediakan kemudahan sokongan di rumah. Ramai OKU kehilangan pekerjaan semasa pandemik yang merupakan satu lagi ancaman kepada kehidupan mereka.

Kerajaan Indonesia mendapati hanya 1.2 peratus pekerja dalam pekerjaan formal seperti penjawat awam atau pekerjaan swasta adalah golongan OKU. Oleh itu, mereka biasanya bekerja di sektor tidak formal seperti menjual di jalan-jalan yang telah dilanda keras oleh Covid-19, terutamanya dengan lockdown. Kerajaan Indonesia tidak memasukkan OKU sebagai penerima bantuan sosial keperluan semasa lockdown ini.

Kerajaan mesti membantu golongan OKU yang keluarganya dijangkiti Covid-19. Kita perlu memastikan bahawa kes di China, dimana seorang remaja dengan cerebral palsy meninggal dunia seminggu selepas bapa dan abangnya diletakkan dalam kuarantin, tidak berlaku lagi.

Kita tidak boleh mengabaikan bahawa masyarakat OKU telah diabaikan dalam usaha kita menangani pandemik. Golongan OKU, seperti orang lain, memerlukan usaha yang tulen dan serius oleh kerajaan dan masyarakat untuk menyelamatkan mereka daripada krisis ini.

Jika kita terus mengabaikan OKU, perjuangan melawan Covid-19 untuk semua orang menjadi lebih sukar walau vaksin telah didapati!

*Mohd Fudzail Mohd Nor ialah seorang OKU yang pernah menjadi CEO syarikat di Dubai dan Abu Dhabi serta pernah memenangi lima Hadiah Sastera Perdana Malaysia

Sumber: SINAR HARIAN
Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf


BERSEDEKAH SUCIKAN JIWA



Tahun 2021 telah menyapa kita. Terlalu banyak kenangan pahit datang tanpa diundang pada tahun 2020 di kala koronavirus menerpa satu dunia.

Ramai yang terkesan, terduduk, terkedu dan terkorban dengan ujian tahun 2020. Hebat ujian Allah SWT untuk hamba-Nya di seluruh pelosok dunia.

Semoga tahun ini akan membawa seribu sinar bagi kita semua. Sedikit demi sedikit aktiviti harian kita yang pernah lumpuh di tahun 2020 telah mula bangkit perlahan-lahan satu demi satu.

Moga-moga kita mengambil iktibar daripada ujian yang didatangkan pada tahun 2020.

Mari kita sama-sama amati kata-kata indah ini:

Allah beri kita kesedihan kerana nak kita sebut nama-Nya.

Allah beri kita kesakitan kerana nak kita mohon kesembuhan daripada-Nya.

Allah beri kita kehilangan kerana nak kita minta yang lebih baik daripada-Nya.

Allah beri kita kesusahan kerana nak kita belajar untuk syukur dan reda.

Allah beri kita kemiskinan kerana nak kita minta daripada-Nya kecukupan.

Allah beri kita kehinaan kerana nak kita minta kemuliaan daripada-Nya.

Reda pada ujian Allah SWT

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya besarnya suatu balasan sebanding dengan besarnya musibah yang dialami. Barang siapa yang reda atas musibah itu maka ia akan mendapatkan keredaan Allah. Tapi barang siapa yang murka akan baginya kemurkaan Allah.” (Riwayat at-Tarmidzi).

Lirik nasyid kumpulan Raihan yang berjudul ‘Demi Masa’ ada membawa bait-bait indah dengan pesanan yang cukup mendalam:

“Masa usia kita jangan disiakan kerana ia tidak akan kembali. Ingat lima perkara sebelum lima perkara: sihat sebelum sakit, muda sebelum tua, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sempit, hidup sebelum mati.”

Ayuh sama-sama kita tanamkan azam dan tekad baru di tahun baru ini. Mulakan lembaran baru dengan bersedekah.

Tidak ramai yang dapat bersedekah ketika dilanda kemiskinan terutama sekali di kala kehilangan pekerjaan atau kejatuhan bisnes.

Ramai yang menunggu sehingga kaya barulah hendak bersedekah.

Allah SWT berfirman pada Surah Ali-Imran, ayat 133 dan 134 bermaksud: “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang bertakwa. Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, orang-orang yang menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang lain. Dan (ingatlah) Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara baik.”

Bulan Ramadan sangat sinonim dengan amalan-amalan kebaikan khususnya bersedekah. Namun benarkah kita hanya perlu bersedekah di bulan Ramadan?

Konsep bersedekah dalam Islam adalah terlalu luas untuk dikupas dan diperjelas dan ia tidak tertumpu kepada wang ringgit dan harta sahaja. Latih diri untuk bersedekah.

Dalam sebuah hadis Riwayat Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Apabila mati seorang manusia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak yang soleh yang mendoakan baginya.” (Riwayat Muslim).

Perlu diingat bahawa bersedekah tidak akan mengurangkan harta atau rezeki. Seperti firman Allah SWT dalam al-Quran Surah Saba ayat 39 yang bermaksud: “Sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya dan menyempitkan bagi (sesiapa yang dikehendaki-Nya). Dan barang apa saja yang kamu nafkahkan, maka Allah akan menggantinya dan Dialah pemberi rezeki yang sebaik-baiknya.”

Persiapan di garis permulaan tahun 2021 ini, bersedekah sejurus selepas menunaikan solat Subuh. Didik diri dan keluarga untuk mengamalkannya setiap hari.

Lama kelamaan akan terbiasa dengan amalan bersedekah. Amalan bersedekah ini dapat menyucikan jiwa dan harta.

Hati akan lebih tenang dan aman dengan bersedekah. Jiwa juga akan damai dan terhindar daripada perasaan negatif.

Bersedekah akan membuka pintu-pintu rezeki. Sabda Nabi SAW: “Tidak ada suatu hari pun ketika seorang hamba melewati paginya kecuali akan turun dua malaikat. Lalu salah satunya berkata, “Ya Allah berikanlah pengganti bagi sesiapa yang menafkahkan hartanya,” sedangkan yang satunya lagi berkata, “Ya Allah berikanlah kehancuran (kebinasaan) kepada orang yang menahan hartanya (bakhil).” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Seperti yang diumumkan, sesi persekolahan bakal bermula pada 20 Januari 2021, rebutlah peluang untuk bersedekah sebanyak mungkin.

Belilah barang-barang keperluan asas, uniform sekolah, alat tulis atau apa sahaja untuk fakir miskin atau keluarga yang terkesan dek pandemik ini.

Didik diri kita dan anak-anak untuk sama-sama berkongsi kegembiraan pada yang kurang bernasib baik.

Allah SWT berfirman dalam Surah an-Nisa’ ayat 114: “Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah atau berbuat kebaikan atau mendamaikan di antara manusia dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar.”

Sedekah juga diriwayatkan dalam hadis Riwayat Muslim, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tangan di atas lebih baik daripada tangan di bawah. Tangan di atas adalah yang memberi dan tangan di bawah adalah yang meminta.”

Dalam amalan bersedekah, kita perlu ikhlas, bukan disebabkan balasan ataupun nama. Sedekah juga perlu dilakukan tanpa dihebahkan. Ibarat tangan kanan memberi, tangan kiri tidak mengetahui.

Bekalkan anak-anak duit poket lebih setiap hari ke sekolah. Pesan kepada mereka untuk bersedekah wang mahupun makanan kepada kawan-kawan yang kurang berkemampuan.

Didiklah anak untuk menjadi observant (pemerhati), peka pada persekitaran. Belikan makanan kepada kawan-kawan yang tidak mempunyai makanan atau minuman semasa waktu rehat di sekolah.

Bersedekah di tabung masjid semasa ke masjid bersolat Jumaat juga boleh dipraktikkan.

Nilai dan amalan ini perlu diterapkan seawal mungkin agar menjadi biasa dan dapat mengamalkannya secara berterusan. Bersedekah membuka pintu untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Bersedekah bukan sahaja berupa harta atau wang ringgit. Bersedekah boleh juga diberi dalam pelbagai bentuk.

Hadiahkan senyuman pada guru atau sesama adik-beradik, berdoa secara tulus ikhlas kepada orang yang ditimpa kesusahan, bahkan memberi makan kepada burung-burung yang datang hinggap.

Sebelum anak masuk ke pintu pagar sekolah, titipkan pesanan kepada anak-anak untuk senyum kepada guru-guru, rakan-rakan, tukang kebun, pengawal keselamatan, mahupun peniaga di kantin sekolah.

Senyuman juga adalah sedekah yang menggembirakan hati. Berpesan-pesanlah pada anak-anak untuk sentiasa istiqamah dalam berbuat amal kebaikan.

Daripada Aisyah RA, Nabi SAW bersabda: “Wahai manusia lakukanlah amalan mengikut keupayaan kamu. Sesungguhnya Allah tidak jemu sehinggalah kamu jemu. Amalan yang paling Allah sukai ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Teruskan istiqamah dalam melakukan kebaikan agar menjadi contoh teladan kepada orang lain.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang dapat menunjukkan suatu kebaikan (kemudian diikuti dan dilakukan kebaikan itu oleh seseorang yang lain) maka dia akan mendapat pahala seperti orang yang melakukannya.” (Riwayat Muslim).

Penulis Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) Disiarkan pada: Januari 4, 2021

Sumber: HARIAN METRO


KONGSI REZEKI: TAK PERLU TUNGGU JADI KAYA



Fitrah semua benda hidup memerlukan makanan untuk meneruskan kelangsungan hidup. Apatah lagi bagi manusia, makanan itu sangat penting. Makanan dan manusia tidak boleh dipisahkan.

Adakalanya makanan boleh menjadikan seseorang sihat atau sakit jika makanan diambil secara berlebihan dan tidak mempunyai khasiat. Nabi SAW bersabda: "Sebaik-baik perkara adalah pertengahannya (sederhana dalam semua keadaan)." Riwayat al-Baihaqi

Sebenarnya untuk menjadikan konsep makan ini berpahala, kita hendaklah rajin memberi makanan kepada orang lain. Ini kerana konsep ini adalah satu daripada sunah Rasulullah SAW yang amat disukai baginda.

Daripada Abdullah bin Amr bin al-As RA berkata: "Seorang lelaki bertanya Rasulullah SAW: Islam manakah yang paling baik? Nabi SAW bersabda: "Kamu memberi makan, mengucapkan salam kepada
orang yang kamu kenal dan yang tidak kamu kenal." Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Konsep memberi makanan kepada orang lain bukan semestinya dalam bentuk kenduri-kendara atau majlis perkahwinan atau keraian yang berskala besar. Ia memerlukan modal yang besar dan kos yang tinggi. Bukan semua orang mampu melakukannya secara kerap.

Akan tetapi, kita boleh melakukanya dengan sekadar memberi makan kepada ahli keluarga yang lain, jiran tetangga dan rakan sekerja. Ia hanya memerlukan kos yang rendah dan murah. Sekadar membeli beberapa bungkus makanan dan diedarkan kepada sasaran penerima.

Pendek kata, konsep ini juga berkait rapat dengan berkongsi rezeki yang diberikan oleh Allah SWT. Firman Allah SWT: "Dan (ingatlah), Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dengan tidak terkira (menurut undang-undang peraturan-Nya)." Surah al-Baqarah, ayat 212

Oleh itu, jangan kita menunggu setelah menjadi orang kaya dan hartawan untuk memberi makan kepada orang lain dan bersedekah serta berkongsi nikmat. Bahkan berkongsilah untuk menjadi seorang yang kaya jiwa dan harta benda.

Bahkan dapat melindungi pelakunya daripada seksaan api neraka. Nabi SAW bersabda: "Api neraka berasa takut walaupun dengan sebiji kurma (yang kamu berikan untuk orang yang lapar)." Riwayat al-Bukhari

Selain itu, konsep ini juga sebahagian daripada amal soleh yang berat timbangannya. Ia juga satu bentuk terapi jiwa dan minda manusia. Apabila kita banyak menyumbangkan makanan kepada orang lain, ia akan menimbulkan ketenangan dalam diri seseorang. Sebagai contoh orang yang sedang sakit, apabila rajin bersedekah dan memberi makanan, itu sebagai satu cara mencari penawar kesakitannya.

Imam Jalaluddin al-Suyuti menyebutkan terdapat satu hadis Nabi SAW mengenai orang yang akan mendapatkan perlindungan di bawah Arasy Allah SWT. Dia adalah orang yang memberi makanan kepada orang yang lapar. Sabda Nabi SAW, "Sesungguhnya orang terbaik di antara kalian adalah orang yang memberi makan." Riwayat at-Tabrani.

Seorang lelaki juga pernah bertanya kepada Nabi SAW, "Perbuatan apa yang terbaik dalam Islam?" Nabi SAW menjawab, "Kamu memberi makanan kepada orang lain." Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Selain itu kelebihan orang yang memberi makan ini dinyatakan oleh Nabi SAW dalam sabdanya, "Sesungguhnya di syurga terdapat sejumlah bilik yang bahagian luarnya terlihat dari bahagian dalamnya dan bahagian dalamnya terlihat dari bahagian luarnya. Lalu seorang Arab Badwi berdiri lalu bertanya, "Ya Rasulullah untuk siapa bilik itu?" Nabi SAW menjawab, "Untuk orang yang memberi makan." Riwayat at-Tirmizi

Bukan hanya diberikan tempat khusus di dalam syurga yang abadi, malahan orang memberi makan juga akan memasuki syurga dari pintu khusus. Nabi SAW bersabda: "Sesiapa yang memberi makan kepada seorang yang beriman hingga membuatnya kenyang daripada rasa lapar maka Allah akan memasukkannya ke dalam salah satu pintu syurga yang tidak dimasuki oleh orang lain." Riwayat at-Tabrani

Falsafah kesediaan memberi makan kepada orang lain dapat diselami melalui hadis Qudsi iaitu: Nabi SAW bersabda: "Allah SWT berfirman: "Pada hari ini Aku menahan nikmat-Ku daripadamu sebagaimana kamu menahan kelebihan sesuatu yang sebenarnya bukan hasil usahamu." Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Ia menjelaskan bahawa manusia diberikan makanan oleh Allah SWT. Ini disebabkan manusia tidak mampu menciptakan makanannya sendiri.

Satu peristiwa, ketika Saidatina Aisyah RA menghidangkan makanan kesukaan Rasulullah iaitu paha kambing. Rasulullah SAW bertanya: "Wahai Aisyah, apakah sudah engkau berikan kepada Abu Hurairah jiran kita? Aisyah menjawab: "Sudah wahai Rasulullah." Kemudian Rasulullah bertanya lagi: "Bagaimana dengan Ummu Ayman?" Aisyah kembali menjawab: "Sudah wahai Rasulullah." Kemudian Rasulullah bertanya lagi mengenai jiran tetangga yang lain, adakah sudah diberikan masakan itu sehingga Aisyah berasa penat menjawab pertanyaan Rasulullah. Sehingga Saidatina Aisyah menegaskan bahawa semua makanan sudah habis dibahagikan kepada jiran, yang berbaki hanyalah beberapa potong daging untuk dimakan oleh baginda SAW dan Aisyah. Aisyah kemudian menjawab: "Sudah habis aku berikan, wahai Rasulullah. Apa yang tinggal ialah yang ada di depan kita sekarang ini," kata Aisyah. Mendengar jawapannya, Rasulullah SAW lantas tersenyum dan mengatakan sesuatu yang ringkas namun maksudnya mendalam. "Engkau salah Aisyah, yang habis adalah apa yang kita makan ini dan yang kekal adalah apa yang kita sedekahkan." Riwayat at-Tirmizi

Penulis Profesor Madya, Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) Disiarkan pada: Mac 25, 2021 @ 8:26am

Sumber: HARIAN METRO


PERSIAP MINDA, ROHANI HAYATI RAMADAN KETIKA MUSIBAH

    


KITA berada di ambang Ramadan. Beberapa hari lagi, kita menguak pintunya untuk masuk ke madrasahnya. Tahun ini, akan sedikit berbeza, tetapi objektif Ramadan akan tetap sama.

Ia berbeza kerana kita diduga dengan musibah COVID-19 hingga pergerakan kita terbatas, hatta dalam persoalan mengerjakan ibadah di masjid.

Malah, manusia tidak akan berpusu-pusu ke masjid pada malam pertama Ramadan untuk mengerjakan tarawih. Begitu juga tiada lagi kemeriahan mencari juadah untuk berbuka puasa di bazar Ramadan sebelah petang.

Demikianlah hari mendatang. Ia pasti berbeza dengan solat Tarawih hanya sesama ahli keluarga di rumah masing-masing. Semua berwaspada agar penularan COVID-19 berjaya diputuskan rantaiannya.

                  

                  DISYORKAN UNTUK ANDA

Pastinya juga ada hikmah. Bapa sebagai ketua keluarga sudah bolehlah bersiap dari sekarang untuk menjadi imam solat tarawih. Anak lelaki pula diajar menjadi bilal, manakala isteri dan anak lain menjadi makmum.

Perbezaan cara kita menyambut Ramadan kali ini usahlah kita risau dan bimbangkan. Apa yang penting adalah untuk kita tidak sesekali melupakan dasar dan asas kepada matlamat Allah SWT memfardukan puasa kepada umat manusia.

Firman Allah SWT: “Wahai orang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang sebelum kamu, mudah-mudahan kamu beroleh ketakwaan.” (Al-Baqarah: 183)

Kita bersyukur masih hidup dan dipilih Allah SWT untuk menggapai Ramadan kali ini dan marilah kita sama-sama mencari peluang supaya ia lebih baik daripada tahun lalu.

Darjat ketakwaan yang disebutkan dalam ayat di atas adalah anugerah Allah SWT kepada hamba-Nya yang berusaha bersungguh-sungguh dalam ibadat puasa.

Dalam ayat itu, Allah SWT menggunakan perkataan ‘asa (mudah-mudahan) yang bererti tidaklah semua yang memperolehnya jika tidak kena gaya dan aturannya dalam berpuasa.

Oleh itu, baki beberapa hari lagi untuk kita masuk pintu Ramadan, wajar untuk kita mempersiapkan minda dan rohani. Minda harus bersedia menerima kehadirannya dengan berfikiran terbuka menghadapi cabaran.

Rohani kita pula perlu disiapkan dengan rasa gembira dan keazaman jiwa untuk menjalaninya dengan penuh keimanan serta ketakwaan.

Sedarlah jiwa yang berpuasa dengan penuh kesedaran akan pelaksanaan ibadah ini kerana Allah SWT semata-mata akan memperoleh ganjaran besar berupa keampunan-Nya terhadap dosanya yang lalu.

Hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa berpuasa dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala daripada Allah, maka dosanya yang lalu akan diampuni.” (HR Bukhari dan Muslim)

Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menyebut: Apa yang dimaksudkan dengan berpuasa atas dasar iman ialah berpuasa dengan beriktikad akan kefarduan puasa, manakala dimaksudkan dengan ihtisaban ialah mengharapkan ganjaran daripada Allah SWT.

Dalam beroleh darjat ketakwaan ini juga hendaklah kita memastikan kita berpuasa dengan cara disebut Nabi SAW, iaitu berpuasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi turut menahan diri daripada melakukan kemaksiatan zahir serta batin.

Nabi SAW bersabda: “Boleh jadi orang berpuasa itu tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan lapar dan boleh jadi orang yang berqiam itu tidak mendapat apa-apa daripada qiamnya melainkan hanya berjaga malam.” (HR Ibnu Majah)

Antara perbuatan yang akan merosakkan ibadah puasa adalah apabila kita tidak meninggalkan perkataan dan perbuatan keji serta dusta.

Nabi SAW bersabda: “Barang siapa yang tidak meninggalkan perkataan keji serta mengamalkannya pula, maka Allah tidak berhajat untuk orang itu meninggalkan makan dan minumnya.” (HR Bukhari)

Oleh itu, Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya Ulumiddin mengklasifikasikan tiga kelompok manusia dalam hal berpuasa.

Kelompok pertama ialah orang awam berpuasa tidak lebih daripada sekadar meninggalkan makan dan minum serta hubungan seksual pada siang hari.

Kelompok kedua pula diberi nama al-khusus, iaitu mereka yang meninggalkan perbuatan di atas di samping turun menjaga anggota pancaindera daripada melakukan segala perbuatan maksiat dan sia-sia.

Kelompok ketiga pula disebut kelompok khusus al-khusus atau al-khawwas, iaitu mereka menjaga seperti kelompok kedua, pada masa sama, mereka turut menjaga hati dengan sentiasa mengingati Allah SWT.

Oleh itu, marilah kita meningkatkan keazaman kita untuk melakukan ibadah puasa tahun ini dengan kaedah dan cara kelompok yang ketiga supaya kita sebenar-benarnya beroleh darjat ketakwaan di sisi Allah SWT.

Ingatlah ganjaran orang bertakwa atau al-muttaqin akan beroleh syurga-Nya.

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya orang yang bertakwa ialah orang yang berjaya. Mereka beroleh tempat di taman syurga dan beroleh nikmat buah-buahan di dalamnya.” (Al-Naba’: 31-32)

Penulis ialah Pensyarah Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia (USM)

Sumber: BERITA HARIAN