KUALA LUMPUR: Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berharap kerajaan Islam seluruh dunia, bangkit secara proaktif mendukung perjuangan Palestin, dalam mempertahan kedaulatannya dan menentang rejim Zionis Israel.
Beliau berkata, dalam keadaan sekarang, masyarakat Muslim dunia sepatutnya bersama- sama mendukung kebangkitan rakyat Palestin yang sudah bersatu, bukan sahaja di seluruh bumi Palestin, malah di Israel.
"Orang Arab Palestin daripada Muslim dan Kristian sama-sama bangkit. Kita sangat gembira kerana rakyat Arab di sekeliling Palestin mendukung dengan semangat yang kuat.
"Zionis Israel telah tersilap langkah seperti mengusik sarang tebuan dengan menceroboh kawasan Sheikh Jarrah, menghalau penduduk Palestin dari rumah mereka untuk didiami pendatang Yahudi serta menceroboh Masjid Al-Aqsa," katanya
Beliau berkata demikian dalam ucaptama bertajuk Pembebasan Palestin: Perjuangan Tanpa Noktah pada Majlis Pelancaran Kempen #Aid4Palestine secara dalam talian malam ini yang turut disertai Imam Besar Masjid Al-Aqsa, Dr Sheikh Ekrima Said Sabri.
Kempen itu, yang digerakkan Sekretariat #Aid4Palestine di bawah Pejabat Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, hasil kerjasama lebih 40 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyasarkan kutipan dana sebanyak RM1 juta yang akan disalurkan terus ke Palestin.
Sumbangan secara pendanaan awam itu boleh disalurkan melalui NGO Muslim Care Malaysia (Maybank: 5644-9021-1159), Tabung Palestin-Amal Malaysia (Bank Islam: 13053010006474) dan Cakna Palestin (Maybank: 5530-3803-3881).
Dilaporkan pencerobohan dan serangan rejim Zionis Israel kali ini ke atas rakyat Palestin bermula dengan serangan di Masjid Al-Aqsa sejak 7 Mei lalu, diikuti serangan udara di Semenanjung Gaza sejak Isnin lalu, sehingga kini, dilaporkan lebih 119 rakyat Palestin terkorban, manakala beratus-ratus lagi cedera.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, dalam kenyataan, mewajibkan semua peringkat parti PAS menggerakkan usaha mengutip sumbangan untuk dana itu.
Sebagai tanda sokongan terhadap perjuangan Palestin juga, beliau berkata parti itu turut mewajibkan setiap premis milik PAS untuk menaikkan bendera Palestin, selain menggalakkan premis lain berbuat demikian. – BERNAMA
Sumber: BERITA HARIAN
No comments:
Post a Comment