CONTACT

17.5.21

KEMPEN #Aid4PALESTINE SASAR KUTIPAN RM1 JUTA

 

Kempen #Aid4Palestine sasar kutipan RM1juta

Foto AFP
Foto AFP

KUALA TERENGGANU: Kerajaan bersetuju menubuhkan Sekretariat #Aid4Palestine bagi menggerakkan kempen kesedaran rakyat Malaysia terhadap perjuangan Palestin dengan sasaran dana sebanyak RM1 juta.

Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata sekretariat yang akan dipengerusikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi dengan kerjasama lebih 40 badan bukan kerajaan (NGO) yang akan bersama menggerakkan misi ini.

Katanya, sektretariat berkenaan akan berfungsi sebagai penyelaras jaringan NGO dan masyarakat sivil bagi menggerakan kempen kesedaran rakyat Malaysia terhadap perjuangan Palestin.

"Ia juga memainkan peranan untuk menyelaraskan kutipan dana #Aid4Palestine melalui kaedah 'crowdfunding' (pendanaan awam) dengan sasaran bantuan RM1 juta yang akan disalurkan terus ke bumi Palestin.

"Setakat ini, komitmen fasa pertama yang akan disalurkan menjelang 10 Syawal sudah mencecah RM350,000 hasil kutipan terkumpul NGO PASRelief, Yayasan Amal Malaysia, Muslim Care Malaysia Society dan Cakna Palestin Malaysia.

"Kutipan fasa kedua minimum RM650,000 akan dibuka sehingga 30 Syawal ini," katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini, hari ini.

Abdul Hadi yang juga Presiden PAS berharap segala usaha yang dilakukan akan memberi ganjaran dan pahala serta menunjukkan tanda keimanan dan kasih sayang umat Islam kepada Palestin.

Katanya, serangan berterusan dilakukan rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin adalah tindakan zalim dan wajib dikecam oleh semua rakyat Malaysia dan pemimpin negara serta umat Islam seluruh dunia.

"Sehingga ke saat ini, rakyat dan pejuang Palestin terus teguh mempertahankan bumi suci itu tanpa rasa gerun serta takut kepada musuh Allah SWT.

"Setiap umat Islam perlu terus berdoa dan memberikan tekanan ke atas rejim Zionis Israel dengan pelbagai cara dan teknologi terkini supaya dihentikan kekejaman ini dan mengembalikan hak rakyat Palestin.

"Tidak cukup dengan itu, infaq dan sumbangan setiap umat Islam bagi membantu perjuangan rakyat Palestin perlu diteruskan sebagai tanda pengorbanan dan kasih kita kepada Masjid al-Aqsa dan bumi Palestin yang dimuliakan oleh Allah SWT," katanya.

Sumber: BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment